SELAMAT DATANG

Thursday 31 January 2013

PAKAIAN KITA - Sekadar Menutup Atau Menjaga Aurat?


Assalamualaikum. Syukur ke hadrat ilahi atas limpah dan kurniaNya diberi peluang untuk terus bernafas di atas bumi milikNya ini. Setelah sekian lama tidak menulis, Alhamdulillah hari ini diberi peluang untuk berkongsi sedikit ilmu yang dimiliki. Sebenarnya saya lebih suka berbincang daripada duduk tulis blog ni sebab bila tulis blog ni macam cakap sorang2, jadi apa yang dikongsi tidak berkembang.huhu..

Untuk kali ini saya ingin berkongsi mengenai satu perkara yang mungkin nampak biasa bagi kebanyakkan orang tapi bagi saya perlu kita perbetulkan. Mengenai soal aurat. Apa yang saya lihat kita terlalu memandang ringan mengenainya. Tidak kira lelaki mahupun wanita tapi yang lebih perlu ditekankan pada kaum hawa kerana mengundang fitnah yang lebih besar. Auratnya juga lebih sukar dijaga.

Dalam sesi soal jawab bersama Dr Muhaya di radio IKIM.fm, bila seorang wanita bertanya pada beliau, pasti akan ditanya kembali adakah insan yang bertanya itu menjaga solat dan auratnya. Itu menunjukkan bahawa pentingnya penjagaan aurat ini dengan masalah yang dihadapi dalam hidup seorang manusia. Jika dibincangkan mengenai aurat ini, rasanya terlalu panjang untuk dibincangkan. Jadi saya lebih menfokuskan penjagaan aurat dari sudut pemakaian sahaja la.

Dengan siapa kita perlu menjaga aurat?

Saya yakin tidak semua mampu menutup aurat mereka dengan sempurna sepanjang masa. Oleh itu, kenali dahulu dengan siapa kita perlu menjaga batasan aurat ini. Bagi pasangan suami isteri, tiada aurat di antara mereka. Bagi yang mahram pula, ada batasan yang perlu dijaga tapi tidaklah seperti dengan yang bukan mahram. Berikut adalah rajah yang menerengkan hubungan mahram bagi lelaki dan wanita:

Hubungan mahram bagi wanita

Hubungan mahram bagi lelaki

Bagaimana untuk menjaga aurat?

 Bahagian ini yang paling penting sekali kerana ramai yang kurang jelas perkara ini. Ramai orang salah faham, menutup aurat hanya sekadar memakai tudung semata. Tutup bahagian yang kebanyakkan rasa hanya itu aurat yg perlu dijaga. Sedangkan banyak perkara lain yang perlu diperbetulkan dalam menjaga aurat ini. Bagi yang benar-benar ingin menjaga auratnya, berikut adalah perkara yang perlu dinilai untuk memastikan aurat kita benar-benar terjaga:


  1. 1)      Menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan
Bagi wanita, kesilapan yang sering dilakukan berkenaan perkara ini adalah ramai yang terlupa mengenai kaki mereka. Ramai dari kita yang terlupa untuk memakai stoking untuk menutup kaki mereka. Selain itu, masalah yang sering dilihat adalah di bahagian tangan. Memang mulanya tangan itu ditutup dengan pakaian, tapi malangnya kerap sekali wanita ini menyingsingkan lengan baju mereka. Maka terdedahlah sebahagian aurat mereka. Bagi lelaki pula,bahagian yang kerap diabaikan adalah di bahagian lutut. Trend hari ini memakai seluar ¾ . Tidak salah untuk memakainya,tapi yang menjadi masalah adalah ketika duduk, maka kelihatanlah kepala lutut yang sepatutnya ditutup.


  1. 2)       Pakaian yang dipakai adalah longgar (tidak ketat)
Ramai dari kita sudah menutup aurat mereka tapi malangnya memakai pakaian yang ketat-ketat yang menampakkan bentuk tubuh badan mereka yang langsing mahupun yang gebu. Pakaian yang ketat tidak elok untuk tubuh badan. Bagi yang wanita pula, berpakaian sebegini mampu merangsang buaya-buaya jantan untuk bertindak lebih agresif. Wanita yang memakai pakaian yang ketat ini ibarat seperti meminta diri mereka dirogol sebenarnya! Kadang-kadang yang memakai pakaian yang ketat ini ibarat bertelanjang sebenarnya. Serupa tidak memakai pakaian. Nauzubillah..


  1. 3)      Kain yang digunakan adalah tebal (tidak nipis/ jarang)
Masalah ini pun sering berlaku dalam pemakaian wanita hari ini. Kadang-kadang keliru sama ada mata ini yang hebat seperti superman boleh menembusi pakaian orang ataupun kain yang dipakai itu jarang. Jika dahulunya wanita akan memakai kain di dalam kain mereka(pakai kain 2 lapis), tetapi hari ini sukar sekali untuk jumpa. Bila cahaya matahari menembusi kain yang dipakai, maka kelihatanlah bentuk kaki di sebalik kain yg dipakai itu. Yang lebih teruk lagi ada yang mengenakan kain yang jarang sehingga menampakkan baju kecil(bra) yang dipakai di dalamnya! Jelas kelihatan! Tidak pandang rugi, kalau dipandang berdosa pula. Haish..

Kesilapan pemakaian wanita hari ini


Tiga perkara di atas merupakan yang paling utama dalam pemilihan pakaian yang menjaga aurat. Terdapat ciri-ciri lain yang perlu dilihat dalam memenuhi kepatuhan syariah seperti:
  • -          Tidak terlalu menarik perhatian (warna yang terlalu terang, memakai wangi-wangian yang berlebihan, berhias berlebih-lebihan)
  • -          Tiada unsur tabaruj iaitu niat untuk berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk, bermewah-mewahan dan bertujuan untuk mendapatkan populariti
  • -          Tidak terpengaruh dengan mana-mana agama mahupun budaya yang tidak baik seperti mempunyai lambang iblis, salib, mengikut budaya agama lain dan terkandung kata-kata yang tidak baik
  • -          Bahan kain yang dipakai(seperti lelaki tidak dibenarkan memakai sutera, berasal dari bahan yang halal)
  • -          Tidak berlaku unsur pembaziran dalam membeli pakaian.
  • -          Tidak memberi kemudaratan kepada kita seperti pemakaian kasut bertumit tinggi.


Mengapa perlu menutup aurat?

Kurangnya perhatian dalam menutup aurat ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran kepentingan menjaga aurat dengan betul ini. Sebab itu ramai yang mengendahkan perkara ini. Banyak sebab sebenarnya kenapa kita perlu menjaga aurat. Islam mensyariatkan penjagaan aurat bukanlah untuk mengongkong umatnya tetapi ingin memelihara umatnya dari bahaya.

Dengan menutup aurat sebenarnya memberi kebaikan pada kesihatan diri. Menutup aurat dengan sempurna dapat mengelakkan kulit kita terdedah dengan sinaran matahari yang berbahaya. Pakaian juga dapat melindungi kita dari bahaya kecedaraan sebenarnya. Pakaian yang ketat pula mendatangkan kemudaratan. Banyak kajian menunjukkan pakaian yang ketat mampu memberi kesan pada organ dalaman tanpa kita sedari. Lagipun kulit perluakn udara untuk ‘bernafas’. Yang penting adalah keselesaan. Ramai orang sanggup bersusah untuk nampak seksi dari menutup aurat dengan selesa.

Dengan berpakaian sopan dan menutup aurat juga sebenarnya mampu memelihara kehormatan diri. Melindungi diri dari ancaman buaya-buaya yang sering ingin mengambil kesempatan. Banyak berlakunya jenayah cabul, rogol dan sebagainya tidak boleh mempersalahkan lelaki semata-mata tetapi kadangkala wanita itu sendiri seperti meminta diperlakukan seperti itu! Dah tayang sana-sini tapi bila orang tengok tahu pula marah. Sungguh pelik rasanya bila berlaku seperti ini.


Etika pemakaian seorang muslim/muslimah


Siapa perlu bertanggungjawab?

Saya menulis perkara ini bukanlah bertujuan untuk mencari kesalahan yang berlaku hari ini. Cumanya sedikit usaha dalam membetulkan apa yang saya rasa tidak betul yang sering kita lakukan. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua. Bagi yang mempunyai kesedaran, maka tegurlah dengan cara berhikmah. Yang terasa dirinya tidak betul, sama-samalah memperbetulkan apa yang silap. Itulah peranan bagi setiap individu.

Bagi yang sudah berkeluarga, menjadi peranan si bapa untuk menjaga ahli keluarga mereka dari terjerumus ke dalam neraka. Mendidik isteri dan anak-anak mereka mematuhi syariat agama. Dalam masyarakat, peranan pemimpin masyarakat itu amat penting dalam mendidik masyarakatnya. Menetapkan peraturan, melaksanakan hukum Allah. Mengajak masyarakat untuk mematuhi seruan Allah. Itu pun jika pemimpin itu benar-benar ingin membawa islam.

Kesimpulan

 Untuk bercerita panjang, rasanya tak tahu bila akan habis. Jadi apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak dapat beri panduan pada kita semua tentang kesempurnaan menjaga aurat. Ingat,aurat bukan sekadar untuk ditutup tetapi perlu dijaga. Bagi wanita, islam telah memelihara dirimu dengan menaikkan darjatmu. Jangan kau rendahkan martabatmu dengan menjadi tontonan umum. Biarlah yang layak sahaja yang memperolehmu.

 Jaga aurat, terpeliharalah dirimu dari neraka. Semakin ketat pakaianmu, semakin ketat pintu syurga buatmu. Semakin terdedah auratmu,semakin terdedah pintu neraka buatmu. Renung-renungkan dan selamat beramal~

Assalamualaikum. 

p/s:jika ada yang kurang,tambahkan.jika ada yang silap,perbetulkan. :)

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...