SELAMAT DATANG

Wednesday 20 July 2011

RAYA DIDAHULUKAN PUASA DIUTAMAKAN??_ Sikap Orang Kita

Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim. Assalamualaikum wbt dan apakhabar iman kalian hari ini? Bertambah baik atau masih ditakuk yang lama? Semoga hari ini lebih baik dari semalam : )

InsyaAllah tidak lama lagi kita akan menyambut bulan ramadhan yang telah lama kita nanti-nantikan. Bulan yang penuh rahmat dan barakah. Bulan yang dimana umat islam akan berpuasa selama sebulan sebelum menyambut kedatangan syawal pula. Untuk kali ini saya berminat untuk membincangkan bulan yang akan kita sambut tidak lama lagi. Tajuk ini saya terlintas di fikiran selepas membaca naskah I LUV ISLAM keluaran minggu lepas(15 Julai 2011). Jadi mari kita lihat bagaimana sambutan masyarakat islam di Malaysia menyambut dua bulan(ramadhan dan syawal) ini_berdasarkan pembacaan dan pemerhatian saya. Selamat membaca dan renungkan~~

BULAN PENYUCIAN DIRI



Seperti yang kita sedia maklum, bulan ramadhan ini terkandung pelbagai fadhilat didalamnya. Andai harta disucikan dengan berzakat dan dosa disucikan dengan bertaubat, maka ramadhan inilah bulan pemantapan dan penyucian jiwa. Abu Hurairah menyatakan : 

Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. (Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

Di sini kita dapat lihat pada bulan ramadhan inilah peluang kita untuk memperbanyakkan amal kerana pada masa ini syaitan-syaitan telah diikat. Pada bulan ini jugalah kita boleh memohon doa kerana pintu-pintu syurga telah dibuka seluas-luasnya. Dalam menguji keikhlasan, ketakwaan dan kepatuhan diri, pada bulan ramadhan ini juga landasan yang boleh kita gunakan. Kenapa? Kerana ibadah puasa ini adalah hanya kita dan Allah sahaja tahu. Dan pada bulan ini banyak larangan yang telah dikemukan bagi mengekang nafsu kita. Ini tertulis dalam satu riwayat daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:

Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Sesungguhnya fadhilat berpuasa ini amat besar. Bukan sekadar dapat membentuk diri untuk menjadi lebih baik dan memberi kebaikan pada kesihatan fizikal malahan dengan berpuasa juga, ganjaran daripada Allag swt juga tidak ternilai. Antaranya keampunan bagi hambaNya. Ia telah diriwayatkan dalam satu hadis dimana  Abu Hurairah telah berkata : 

Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)



 
Disini saya sertakan sekali dengan adab-adab berpuasa dan solat terawih sebagai tambahan. Bacalah ya!! : )


BULAN KESYUKURAN ATAS KEMENANGAN

Setelah berpuasa sebulan ramadhan, akhirnya saat yang dinanti-nantikan oleh kebanyakkan daripada kita. Pada bulan inilah kita akan meraikan kemenangan setelah sebulan perperang menahan nafsu. Sesungguhnya bulan ini adalah satu hari yang telah digantikan sebagai meraikan kegembiraan oleh umat islam dengan yang lebih baik. Ini terdapat dalan satu hadis Rasulullah saw iaitu:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Bulan syawal juga merupakan satu nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk berasa bersyukur atas peluang yang diberikan kepada kita dan kejayaan menempuhinya setelah sebulan berpuasa. Dalam firman Allah swt yang bermaksud: 

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."   Surah al-Baqarah : 185

Sebagai rujukan cara menyambut Hari Raya, disini saya sertakan pautan yang membicarakan mengenainya: http://komuniti.iluvislam.com/topic/24462-aidilfitri-menurut-sunnah-rasulullah-saw/ 

AMALAN RAKYAT MALAYSIA KEBIASAANNYA

Berbalik pada tajuk persoalan,agak-agaknya kita ni yang jenis bagaimana? Mengharapkan ramadhan datang atau tidak sabar menunggu raya menjelang?hehehe.... Dalam menilai jenis manakah kita, mari kita lihat apakah persediaan yang telah kita lakukan untuk menghadapi kedua-dua bulan ini. Apa yang saya lihat, kebanyakkan dari kita lebih tidak sabar menyambut hari raya kerana ada diantara kita telah bersedia untuk menyambutnya 3 bulan lebih awal!! Percaya atau tidak?? Percayalah.hehehe~

                 Cuba kita lihat di pasar raya besar di Malaysia, masih lama lagi untuk beraya sudah ada jualan untuk raya. Dan mulalah mak cik-mak cik memenuhi kedai-kedai kain memilih kain langsir, baju raya dan lain-lain lagi. Tidak kurang ada yang sudah keluarkan tempahan untuk kuih raya pula. Rumah dicat, bersedia mengambil cuti untuk pulang ke kampung dan lain lain persedian dilakukan. Apakah tuhuan semua ini? Menyambut ramadhan atau syawal? Memang tidak salah untuk kita menyambut hari kemenangan kita dengan sesuatu yang agak meriah tapi adakah kita melakukannya mengikut syarak? Adakah berlaku pembaziran? Sedangkan baju yang lama masih molek dipakai kenapa perlu ditukar? Perabot baru diganti sedangkan yang lama masih boleh digunakan. Dan kadang-kadang yang menyedihkan selepas raya ramai dari kita yang berhutang gara-gara kerakusan menyambut syawal. Bukankah lebih baik duit lebihan yang ada dimanfaatkan untuk sesuatu yang lebih berfaedah. Renung-renungkanlah ya~

    

          Berbalik pada persediaan bulan ramadhan pula,apakah persediaan kita menghadapinya? Puasa yang ditinggalkan sudah diganti? Zakat harta sudah dibayar? Bersediakah untuk berjaga malam? Bersolat terawih? Bertadarus? Menahan nafsu dari terbit fajar sehingga terbenam fajar? Apakah yang telah kita lakukan untuk semua ini? Ada tidak rasanya? Ingatlah bahawa ramadhan datang setahun sekali sahaja. Ganjaran yang diberikan terlalu besar. Tidakkah kita mahu merebutnya? Adakah kita mahu menjadi orang yang rugi kerana melepaskan peluang keemasan ini? Masih belum terlewat untuk bersedia menyambutnya. Jadi saya berharap la kita sama-sama membuat persediaan(peringatan untuk diri sendiri juga).
 
Di Malaysia kebiasaannya kita akan bermaaf-maafan sesama kita pada bulan syawal. Ia agak berlainan di Indonesia. Ucapan maaf disampaikan pada bulan ramadhan. Ini apa yang saya selalu terima dari keluarga angkat disana. Tapi tidak tahulah bagaimana sambutan mereka. Bukan untuk membandingkan tapi sekadar perkongsian pengalaman. Tidak salah pun kerana kita memang digalakkan untuk saling memohon maaf setiap masa. Betul tidak?=)

PENUTUP

Semua ini hanya sekadar perkongsian, ini adalah apa yang saya lihat yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Tidak salah untuk melakukan apa sahaja cuba lebih baik kita lakukan apa yang lebih digalakkan dalam syarak. Saya sedar saya juga salah seorang darinya dari apa yang dikatakan. Kata orang sahaja lebihkan?huhuhu... Apa pun marilah kita sama-sama lakukan persediaan yang sepatutnya agar kita sentiasa memperoleh rahmat dan redhaNya. InsyaAllah~

Maaf atas segala kekurangan.WaAllahua'lam.Wassalam~

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum...tok bilal...xdershoutbox ke nak tinggal jejak....

    ReplyDelete
  2. waalaikumusalam.permintaan anda telah dipenuhi tok wan!!! :)

    ReplyDelete

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...