SELAMAT DATANG

Wednesday 27 July 2011

KEMERDEKAAN BUKAN KEBEBASAN: Hargai Perjuangan Mereka

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim pembuka bicara. Assalamualaikum doaku buat semua.

Alhamdulillah atas nikmat yang telah diberikan kepada kita. Kehidupan, kelapangan, keamanan dan yang paling utama nikmat iman dan islam. Sebelum meneruskan perbincangan untuk kali ini, marilah kita bersalawat keatas junjungan Baginda saw yang kita kasihi. Semoga memperolehi syafaatnya di akhirat kelak.

          InsyaAllah dengan izinNya untuk tahun ini kita akan merasai dua perkara yang besar di negara kita pada bulan yang sama iaitu bulan kemerdekaan dan ramadhan. Semoga pertembungan dua peristiwa ini serentak tidak akan melunturkan semangat malah menaikkan lagi semangat patriotik dalam diri masyarakat atas barakah yang dibawa oleh ramadhan kali ini. Jadi bersempena sambutan bulan kemerdekaan kali ini, saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat tentang isu kemerdekaan ini yang semakin lupus dalam jiwa anak muda hari ini.



PERJUANGAN MENUNTUT DAN MEMPERTAHANKAN KEMERDEKAAN NENEK MOYANG KITA

Dalam menuntut kemerdekaan, tangisan air mata dan darah mengalir dalam menahan derita yang dilalui. Harta dan masa yang dikorbankan pula bukan sedikit. Ada yang sanggup menggadaikan tanah dan emas untuk mendapatkan kemerdekaan. Matlamatnya hanya satu, membangunkan bangsa dan negara yang berdaulat. Tiada perasaan dengki dan iri hati dalam perjuangan. Kesabaran dan kerasional dalam berfikir dan mengambil tindakan dalam menjamin setiap tindakan adalah yang terbaik untuk generasi kini. Kerjasama dan perpaduan sesama kaum ketika itu amat teguh dalam memperjuangkan kemerdekaan.

                Kesukaran yang dialami bukan sekadar dalam menuntut kemerdekaan. Ia berterusan dalam mempertahankannya pula. Mengejar pembangunan, membentuk pewaris kepimpinan mentadbir negara dan mempertahankan kemakmuran bukan satu perkara yang mudah. Kekuatan dan semangat yang ada pada nenek moyang kita dahulu begitu tinggi akhirnya ia dapat dikekalkan sehingga hari ini. Sehingga bila ia mampu bertahan??



ORANG MUDA DAN MERDEKA

Ramai dari kita menganggap maksud kemerdekaan adalah kebebasan. Memamg benar apa yang dikatakan tapi tidak semestinya sesebuah negara itu merdeka, maka seluruh isi negara itu bebas. Dan kemerdekaan yang dikecapi mungkin hanya pada diatas kertas sahaja. Walaupun kita sudah merdeka, tidak semestinya kita bebas untuk melakukan apa sahaja yang kita inginkan. Ingatlah bahawa kita masih perlu patuh dengan undang-undang yang telah diperuntukkan.

                Golongan muda hari ini ibarat bebas melakukan apa yang mereka kehendaki. Alasannya kita sudah merdeka. Mereka kata mereka ada hak untuk melakukan apa sahaja. Identiti budaya kian ditinggalkan. Semangat patriotik kian lupus dalam diri. Memikirkan kesenangan dan kehendak diri. Adakah itu yang dimaksudkan dengan merdeka? 

DIJAJAH KEMBALI

Tidak mustahil perkara ini akan berlaku. Mungkin kita tidak akan dijajah secara fizikal. Tapi sedarkah kita bahawa kita telah dijajah secara mentaliti? Lihatlah yang berlaku hari ini. Anak muda mengagungkan budaya barat dan ciri asal ketimuran diabaikan. Mungkin kita tidak fikir kesannya adalah terlalu besar, tetapi dari kesan yang kecil inilah sesuatu perkara yang besar boleh berlaku. Melemahkan pemikiran dan semangat jati diri antara strategi penjajah zaman kini yang akhirnya boleh membuatkan kita dijajah kembali.

Dulu pernah duduk bersembang dengan pakcik-pakcik selepas gotong royong di surau. Mereka berbicara mengenai politik di Malaysia ini. Kerisauan mereka akan generasi kini jelas terpampang di wajah mereka. Seorang pak cik bertanya,”apakah persediaan anak muda jika tiba-tiba diserang? Mampukah kamu bertahan? Dengan ramainya penagih, mat rempit dan  penjenayah hari ini apakah ini dapat membantu? Pencakaran sesama sendiri( terutama orang melayu) membuatkan generasi masa hadapan gelap sinarnya untuk terus mempertahankan kemerdekaan”. Kata-kata yang membuatku tersedar dari lenaan. Apakah yang mampu ku sumbangkan sebenarnya dalam memastikan negara tidak terus dijajah?

Semangat juang anak muda kini terlalu rendah. Yang mereka minta pelbagai perkara untuk kepentingan diri mereka. Perjuangan yang tidak releven sebenarnya. Mungkin sudah lama berasa senang dan selesa. Asyik mengejar kesenangan dan mengharapkan ia hadir tiba-tiba sahaja. Tidak kenal makna pengorbanan yang telah dilakukan pejuang terdahulu. Maka beginilah jadinya. Sanggup menjadi hamba untuk mencapai matlamat masing-masing. Ingatlah bahawa kitalah pewaris bumi Allah ini kelak. Ingatlah bahawa bukan kita sahaja yang akan duduk di negara ini. Kita masih ada anak cucu yang masih memerlukannya. Andai bukan kita sapa lagi yang akan mempertahankannya?

MERDEKA JIWA HAMBA

Bagi saya sebenarnya merdeka bukan bererti kebebasan mutlak yang seperti mana kita sentiasa dengar iaitu melakukan apa sahaja yang kita suka. Mungkin apa yang boleh saya terjemahkan merdeka adalah bermaksud kemampuan atau hak yang diberikan kepada kita dalam menentukan apa yang kita mahukan tetapi perlulah berlandaskan apa yang telah ditetapkan. Nampak sama mungkin ada maksud yang berbeza. Walau kita mungkin berasa bebas untuk melakukan apa sahaja, tapi sebenarnya kita perlu mengikut apa yang telah ditetapkan. 

Walaupun kita diberi kebebasan, ingatlah kita masih lagi seorang hamba. Hamba padaNya. Masih ada yang perlu kita patuhi. Seseorang yang benar-benar menghargai kemerdekaan yang dikurniakan akan mengekalkan identiti asal siapakah diri mereka sebenarnya, mengikut apa yang telah ditetapkan atas ‘kemerdekaan’ yang telah diberi dan akan sebaik mungkin mempertahankannya mengikut matlamat asal. Sebaik-baik merdeka adalah mereka yang memerdekakan dirinya dari terpengaruh daripada sebarang anasir yang negatif.


SAMPAI BILA AKAN MERDEKA??

Sedih melihat semangat perjuangan remaja kini kian luntur. Yang ada pula semakin lari dari sasaran sebenar. Kita pewaris generasi akan datang penentu segalanya. Takkan kita mahu dijajah kembali. Bantulah dalam membangunkan negaramu. Hindari dari pertelingkahan dan pergaduhan. Bersatulah. MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA...ALLAHUAKBAR~

WaAllahua’lam,wasalam...

p/s:dah lama nak tulis pasal perkara ini. tiba-tiba idea hilang pula.dah 3 hari tak lepas nak post. jadi segala kekurangan mohon maaf la ya ~,~"

No comments:

Post a Comment

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...