SELAMAT DATANG

Tuesday 16 August 2011

MANUSIA KINI (BHG 1)_ Lunturnya Semangat Kejiranan



 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Syukur ke hadrat Ilahi kerana telah menemukan diri ini dengan ramadhan yang ditunggu-tunggu selama ini. Walaupun kurang sihat dalam menempuhi bulan yang mulia ini,ia bukan penghalang bagiku untuk meneruskan ibadah puasa. Semoga kita lebih memperolehi keberkatan dariNya. (^,^)/

Sudah agak lama tidak menulis di blog ni. Sudah berhabuk agaknya.huhuhu.. Untuk kali ini saya tertarik untuk membincangkan sikap manusia hari ini yang semakin jauh dari landasan yang sepatutnya. Mungkin sikap ini ada di dalam diri saya sendiri juga. Maka marilah sama-sama kita membetulkan apa yang sudah kita biasa lakukan hari ini, biasakan pula apa yang betul.

SIAPAKAH JIRAN KITA?

                Adakah kita kenal jiran kita? Siapakah jiran yang sepatutnya bagi kita? Masa sekolah dulu,kita belajar jiran ini yang duduk sekitar rumah kita iaitu sejauh 40 buah rumah atas,bawah,kiri dan kanan kita.  Bayangkan kalau duduk dikampung, sudah la rumah jauh-jauh. Kalau 40 buah rumah boleh sampai ke kampung sebelah. Kita hari ini sekeliling rumah. Bukan 40, 4 buah rumah pun belum tentu kenal. Betul tidak?hhmmmm….

SEMANGAT KEJIRANAN

bertegur sapalah dengan jiran-jiran


Untuk bahagian 1 ini, saya berminat untuk membincangkan mengenai masalah semangat kejiranan yang kian pudar dalam diri masyarakat kita hari ini. Perasan atau tidak, kita mungkin sekali tidak mengenali siapakah yang tinggal di lorong rumah kita. Tidak mengenali satu sama lain. Yang lebih teruk, jumpa pun seperti tidak pernah. Betul tidak?  Ada terbaca dahulu, antara salah satu kriteria dalam memilih tempat tinggal adalah dengan melihat jiran disekitarnya terlebih dahulu. Tapi kita hari ini pasti tidak menilai semua inikan? Apa yang kita tahu ada tempat tinggal yang memudahkan kita ke tempat bekerja dan selesa. Tapi sejauh mana keselesaan yang kita mampu kecapi jika jiran sebelah pun tidak ditegur? Aktiviti di kawasan perumahan pun tidak turut serta? 

Sedar atau tidak, semangat kejiranan ini amat-amat penting dalam islam sehingga disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

TIDAK AMBIL PEDULI AKAN JIRAN

Memang amat jarang sekali kita mengambil kisah akan tentang jiran kita. Kadang-kadang ada yang berfikir ‘Ah,cukuplah dia tidak menganggu aku cukup. Buat apa sibuk jaga tepi kain orang pula’. Mungkin salah satu punca berlakunya masalah ini adalah kerana kita terlalu sibuk mengecapi hal-hal keduniaan sehingga tiada masa untuk bertanya khabar pada jiran kita. Apa boleh buat, inilah realiti hari ini...

Yang lebih teruk berlaku hari ini adalah sikap kita yang ego dan sombong dalam hidup berjiran. Mungkin masih ada jiran yang prihatin dengan kita, tapi kita pula yang tidak mampu menerima keprihatin mereka. Sebagai contoh apa yang pernah berlaku hari ini, jika anak-anak kita melakukan kesalahan tidak ditegur. Bukan sebab tidak mahu menegur, cuma kadang-kadang apabila ditegur kita pula yang disalahkan pula. Ada yang kata ‘pandailah aku jaga anak aku’ dan tidak kurang juga yang ada sanggup menyaman jirannya atas masalah sebegini. Bagaimana semangat kejiranan itu mahu dipupuk jika anak itu dimanjakan tanpa mengambil kisah apa yang orang lain katakan? Hendak dikatakan fitnah, mungkin kita perlu kaji semula apa yang dikatakan. Tapi malangnya anak itu dipertahankan tanpa memeriksa kebenarannya. Kalau pada zaman dahulu, sikap ini tiada pun. Kalau boleh kita berterima kasih atas teguran yang diberikan. Berbanding hari ini, susah hendak dikatakan. Haish.....

bersatu teguh,berpecah lu pikir la sendiri~


HILANG RASA TANGGUNGJAWAB SALING MEMBANTU

            Tanggungjawab sebagai jiran bukan sesuatu yang kecil sebenarnya kerana merekalah yang paling hampir dengan kita. Saling membantu dan menambil berat amat perlu dalam membina masyarakat yang aman. Kalau dulu kalau ada kenduri, ramai-ramai akan turun merewang dan bergotong royong bersama-sama. Yang berat sama dipikul,yang ringan sama  dijinjing. Dengan aktiviti beginilah dapat mengeratkan hubungan sesama lain. Jika jiran menghadapi masalah, kita akan sentiasa bertanya keadaan mereka. Sungguh indah suasana pada waktu dulu.

            Jika kita lihat hari ini, adakah semua ini masih berlaku? Kalau ada aktiviti, memasak panggil katering sahaja. Semuanya upah orang untuk melakukan kerja. Memang semuanya akan lebih mudah, tapi hakikatnya nilai yang hilang ini tidak mampu dibeli kembali. Bagaimana kita ingin memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim jika perkara ini berterusan? Mungkin ia nampak remeh sahaja tetapi mungkin dengan hilangnya semangat ini akhirnya ia mampu menghilangkan rasa muhibah sesama kita.

MENDAHULUKAN HAK JIRAN

            Dalam hidup berjiran,kita perlulah memahami hak masing-masing. Apa yang perlu didahulukan,apa yang perlu kita jauhi. Menjaga perasaan mereka bukan bermaksud perlu menyembunyikan sesuatu yang dia benci. Ada perkara yang perlu kita jelaskan. Ini yang dimaksudkan mengambil berat, bukan menjaga tepi kain mereka.

            Tidak salah untuk mengadakan apa-apa majlis di rumah kita. Menjemput sahabat dan sanak-saudara ke rumah yang baru dipindah amatlah digalakkan. Cuma bukankah lebih baik jika menjemput jiran tetangga sekitar juga. Inilah yang dilihat berlaku hari ini. Kenduri sakan tapi jiran yang hampir diabaikan. Haish, tak patut betul jadi macam ini...

MENGHIDUPKAN SEMANGAT KEJIRANAN

            Sebelum membentuk sebuah negara, pembentukan masyarakat perlu diutamakan dulu. Bagaimana negara hendak berubah kalau masyarakatnya tidak berubah terlebih dahulu. Jadi bagaimana kita ingin mewujudkan semula semangat ini? Fikir-fikirkanlah. Ingat, wang mungkin boleh dicari tapi belum tentu ia membawa kebahagiaan kepada kita. Janganlah fikir akan diri sendiri semata-mata. Kebahagiaan didahulukan, kejiranan diutamakan. Wasalam.

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.(an-Nisa:36)

http://ustaz.blogspot.com/2006/05/hukum-kejiranan-dalam-islam.html

No comments:

Post a Comment

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...