SELAMAT DATANG

Saturday 27 August 2011

SYAWAL_Antara Perkara Yang Perlu Dielakkan


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Alhamdulillah kita sudah semakin hampir untuk ‘bergraduasi’ dari madrasah Ramadhan tidak lama lagi. Adakah kita kita sudah bersedia untuk menghadapi ujian yang mendatang selepas ini? Semoga Ramadhan kali ini kita tidak hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja tetapi keampunan,keredhaan dan keberkatan dari Allah juga kita perolehi. Oleh kerana Syawal kian menjelang tidak lama lagi, untuk kali ini saya berminat untuk menyentuh mengenai amalan sepatutnya dielakkan dari melakukannya yang sering kita lakukan tanpa disedari. Jadi selepas baca ini harap kita dapat cuba menjauhinya =)




BERLEBIHAN DALAM PERSEDIAN

Biasalah bila syawal kian tiba, kita sibuk menghias rumah. Kadang-kala bukan 2-3 hari sebelum raya malah persiapan telah dilakukan sebelum ramadhan lagi kerana terlalu teruja untuk menyambut syawal. Memang tidak salah untuk menghias dan membersihkan rumah, tapi kita tidak perlulah membazir untuk menukar bermacam-macam. Bukankah lebih baik untuk bersederhana? Tukar apa yang perlu sahaja. Baju raya kalau rasa masih molek lagi, tidak perlulah untuk mengantikannya setiap tahun. Yang menyedihkan, berbelanja melebihi kemampuan untuk beraya. Janganlah biarkan konsep ‘biar papa,asal bergaya’ diamalkan kerana khuatir nanti kita sengsara menanggungnya.

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Israk: 26 – 27)


PERGAULAN BEBAS TANPA BATASNYA

Masalah yang paling kerap berlaku apabila berkunjungan ke rumah sanak-saudara, sahabat-handai dan jiran tetangga. Tidak lupa juga rumah awek/pakwe kita. Bersalaman tidak kira mahram atau tidak. Bertepuk bertampar tidak kira tempat bergurau-senda. Tidak ingat dunia jadinya. Cuba ingat balik, adakah kita tahu siapakah mahram kita? Ingatlah, memegang anjing kurap dijalanan lebih mulia dari menyentuh individu yang bukan mahram bagi kita kerana dengan menyentuh anjing tidak berdosa dan hanya najis sahaja tetapi menyentuh bukan mahram adalah berdosa. Jadi cubalah elakkan dari melakukan dosa menyentuh bukan mahram jika ragu statusnya.
bagi lelaki adalah sebaliknya


Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216)



MEMBAZIRKAN MASA DENGAN PERKARA MELALAIKAN

Biasalah bila minggu pertama hari raya, stesen penyiaran menyiarkan rancangan yang menarik di kaca televisyen. Apa lagi bagi yang memang telah menjadi ‘hamba’ televesyen,boleh mengadap dari pagi hingga ke malam. Bukan itu sahaja, dengan peluang yang ada sepatutnya kita bolehlah mencuri sedikit hari untuk melaksanakan ibadah puasa 6. Akibat lalai, ramai dari kita yang tidak melakukannya. Biasalah, beraya-sakan dari 1 sehingga 30 syawal sehingga tiada masa untuk melakukan ibadah ini. Memanglah bukan perkara yang wajib, tapi bukankah lebih baik lakukannya kerana begitu besar ganjarannya.

Dari Abi Ayyub Al-Anshari ra bahawasanya Rasullullah saw bersabda : ” Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti nya puasa itu dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka pahalanya akan sama dengan puasa setahun”(Hadis Riwayat Muslim)


TABARRUJ YANG TIDAK TERKAWAL

walaupun menutup aurat,tabarruj sukar dielakkan

Masalah ini bukan sahaja berlaku semasa syawal. Untuk pengetahuan, tabarruj boleh didefinasikan sebagai perhiasan yang berlebihan oleh kaum wanita dan berkemungkinan diperlihatkan kepada bukan mahram. Ini khusus pada kaum hawa. Boleh dikatakan hampir setiap wanita melakukan kesilapan ini. Kelihatan cantik itu perlu ada batasnya. Dengan solek tebal seinci, bergincu dan bercelak dengan begitu menonjol bukanlah sesuatu yang berlandaskan syariat. Lebih-lebih dilihat oleh ajnabi. Memang menempah saham ke neraka masa akhirat kelaklah maknanya.  

kesilapan yang sering dilakukan dalam berpakaian hari ini


"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang(BERPAKAIAN TIPIS/JARANG, KETAT/MEMBENTUK BADAN DAN BERBELAH/MEMBUKA BAHAGIAN-BAHAGIAN TERTENTU) yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


MEMOHON MAAF SEKALI SETAHUN

Ini bukanlah perkara yang perlu dielakkan. Memohon maaf adalah amalan mulia. Malangnya kita hanya memohon maaf sekali setahun. Yang kelakarnya semasa memohon maaf di Hari Raya menangis teresak-esak. Tapi esoknya dah buat salah balik. Takkan perlu tunggu raya tahun depan baru mohon maaf pulakan? Jadi disini mungkin lebih baik jika amalan bermaafan itu sentiasa diamalkan. Tapi ingat,bermaafan pun kena jaga. Yang bukan mahram jangan dihulurkan tangan bersalaman~
sentiasa bermaafan sesama kita~


Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)

HILANG KAWALAN NAFSU

Setelah sebulan berpuasa, maka apabila syawal menjelang ada diantara kita yang ingin membalas dendam. Balas dendam apa? Apa lagi kalau bukan hawa nafsu makan yang telah ditahan selama sebulan. Dipulunnya kuih-muih, lemang, ketupat dan pelbagai lagi juadah yang dihidangkan. Tidak kurangnya jemputan rumah terbuka yang tidak putus-putus membuatkan kita makan sehingga tidak ingat dunia. Azam di bulan ramadhan ingin kurangkan berat badan, syawal secara tidak sengaja menambahkan berat badan akibat tidak mampu menahan nafsu. Silap-silap penyakit lain yang datang. Bukan sekadar nafsu makan sahaja, yang lain juga perlu jaga juga. Yang dahulu pada bulan ramadhan kita bersolat berjemaah tetapi selepas syawal kita sudah tidak lagi. Janganlah akibat sudah melangkah ke bulan syawal kita lupa amalan di bulan ramadhan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah? "Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

PENUTUP

Banyak lagi perkara yang telah menjadi kebiasaan kita yang perlu diperbetulkan. Biasalah,perkara yang baik ini memang hati tidak suka. Itu namanya nafsu. Tapi ingat,redha Allah perlu dicari. Manusia yang beriman tidak akan mempersoalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan melaksanakannya dengan sabar walaupun ianya sukar dilakukan.Nabi Ibrahim diperintahkan menyembelih anaknya,Nabi Musa menghadap Firaun durjana,Nabi Daud berdepan Jalut gagah perkasa dan Rasulullah saw menyebarkan islam seluruh dunia. Janganlah kita apabila disuruh melakukan sesuatu yang mudah pun banyak alasannya.... =)

Syawal adalah hari kemenangan kepada mereka yang telah berjuang sepanjang bulan Ramadhan dalam mencari redhaNya dan usaha yang dilakukan perlulah istiqamah pada bulan-bulan yang mendatang.Kegembiraan Aidilfitri hanya layak kepada mereka yang menyempurnakan semua ini kerana ia diperoleh bukan dari baju yang cantik,juadah yang enak dan keseronokan berkunjungan tetapi mereka yang memperoleh keredhaan,keampunan dan keberkatan dari Allah Azza wa Jalla sepanjang bulan ramadhan~
SALAM AIDILFITRI~♥


No comments:

Post a Comment

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...