SELAMAT DATANG

Monday, 6 August 2012

KUASA YANG SEMAKIN HILANG


Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan rahmatNya kita masih dibenarkan untuk menarik nafas sehingga ke hari ini. Kejap sahaja sudah masuk ramadhan ke-17 untuk tahun ini. Semakin hampir ke penghujungnya. Semakin bertambah amal kita atau bateri sudah lemah?hehe..

Sudah sekian lama saya tidak menulis. Nak kata sibuk, takde pun. Cuma tiada mood sikit kot.huhu.. Untuk  kali ini saya ingin berbicara mengenai punca masalah sosial yang semakin teruk hari ini iaitu peranan ibubapa dalam membentuk dan mengawal anak-anak mereka. Walau negara semakin maju, tapi sayang keruntuhan akhlak anak muda kian menjadi-jadi. :(

Kuasa ibubapa dulu dan hari ini


Kalau dahulu ibubapa mempunyai kuasa mutlak di dalam rumah mereka. Ayah menjadi raja, ibu menjadi permaisurinya dan anak-anak pula menjadi rakyat di dalam rumah. Raja berhak menentukan peraturan atau undang-undang di dalam rumah dan anak-anak perlu patuh pada setiap peraturan yang telah ditetapkan. Kuasa menghukum dilaksanakan untuk mendidik anak-anak. Kerana sebab inilah orang dahulu lebih berdislin kerana dari kecil mereka dibentuk oleh ibubapa mereka.

Berlawanan dengan hari ini, semua itu kian luntur. Dipengaruhi dengan ajaran barat, anak kini dimanjakan. Tiada peraturan ditetapkan menyebabkan anak menjadi bebas liar tanpa kawalan. Mungkin kerana kesibukkan urusan seharian, ibubapa tidak sempat untuk memantau pergerakkan anak-anak. Akhirnya kuasa ibubapa tidak ditekankan malah ada yang melepaskan tanggungjawab ini pada pihak lain pula.

Kalau diikutkan, ibubapa berhak sepenuhnya ke atas anak-anak mereka. Mengetahui segala perihal anak-anak menjadi tanggungjawab ibubapa. Apa yang anak-anak lakukan, apa yang anak-anak mahukan dan apa yang anak-anak perlukan. Tiada masalah untuk ibubapa memeriksa telefon bimbit anak-anak mereka tanpa kebenaran mereka malah ibubapa sepatutnya memeriksa telefon bimbit anak-anak mereka itu. Dengan kata mudahnya, ibubapa mempunyai hak mutlak pada anak-anak mereka (selagi mana tidak bertentangan dengan perintah Allah S.W.T.).

video
sedutan ceramah Ustaz Don mengenai kuasa ibubapa


Anak-anak lebih bermaharajalela


Jika kita lihat kisah ibubapa kita dahulu, anak-anak begitu takut dengan bapa mereka. Bila dapat tahu bapa pulang dari kerja, semua jadi baik. Betul tidak? Bila di suruh buat sesuatu perkara oleh ibu bapa,anak-anak menuruti sahaja tanpa melawan. Memang ada je yang melawan tapi itu hanya minoriti kes sahaja. Kalau kita lihat hari ini, perkara ini terbalik pula. Ianya menjadi minoriti pula. Bukan sahaja apa yang disuruh ditentang malah apabila kehendak tidak dituruti, anak-anak tunjuk kepala pula. Tidak dipenuhi kehendak anak-anak, mulalah anak-anak mengungkit bermacam-macam dan merungut tidak tentu hala. Ada juga anak-anak yang dari rumah. Dan lebih teruk lagi, ibubapa sendiri di bunuh oleh anak sendiri! Astagfirullahal azim..

Kebanyakkan ibubapa hari ini lebih memenangkan anak mereka tanpa memeriksa terlebih dahulu keadaan sebenar. Di sekolah apabila anak gagal dalam peperiksaan, ibubapa lebih menyalahkan pihak sekolah. Apabila ada orang memberitahu kelakukan tidak baik di luar, kita tidak mempercayainya kerana kita rasa anak kita baik-baik sahaja di rumah. Yang lebih teruk ibubapa menuduh orang tersebut sengaja mengadakan cerita kerana dengki dengan kita. Ini menunjukkan kita terlalu ‘memuliakan’ anak kita seperti seorang tuan. Tidak silap dalam satu hadis ada menyebut salah satu tanda akhir zaman ialah apabila seorang wanita melahirkan tuannya. Nauzubillah.
beza ibubapa dulu dengan kini

Memang benar dalam satu hadis ada menyuruh kita meraikan anak-anak kita, tetapi bukan dimanjakan. Ibu bapa hari ini seperti menjadi hamba di rumah. Disuruh melakukan pelbagai kerja-kerja rumah. Semua kemahuan anak dituruti tanpa difikirkan kesan baik mahupun buruknya dalam jangka panjang yang akhirnya anak-anak 'naik lemak' kerana dibiarkan sebegini.


Anak - Aset vs Pelaburan


“Saya tak nak anak-anak terasa dengan saya,” luahan hati seorang bapa mengenai anak-anaknya. Sepatutnya tiada masalah anak terasa dengan ibubapa mereka. Yang perlu dijaga adalah hati ibubapa sebenarnya. Andai hati anak tidak dijaga,mungkin hanya akan merajuk sahaja. Tapi seorang anak yang melukai hati ibubapanya, maka neraka tempatnya. Dalam satu hadis Rasulullah yang disebut bahawa redha Allah di atas redha ibubapa. Mungkin ibubapa akan menjawab “saya redha dengan anak-anak saya”, tapi betulkah kita benar-benar redha? Atau kita pasrah sebenarnya? Macam dalam cerita ‘Ombak Rindu’ pula.hehe..

Ibubapa perlu faham, mereka bukan sahaja perlu tahu ‘buat’ anak tetapi kena juga tahu mendidik anak. Jadikan anak satu pelaburan, bukannya aset. Apa beza pelaburan dengan aset? Bezanya adalah aset ini hanya satu benda yang bernilai yang kita miliki yang belum tentu memberi pulangan kepada kita kembali tetapi pelaburan kita perlu merancang apa yang kita akan perolehi dari apa yang kita laburkan. Sayanglah andai anak itu diberi maintenance dari kecil akhirnya tidak memberi manfaat dalam jangka panjang. Sesungguhnya anak yang soleh itu merupakan salah satu bekalan kita di akhirat kelak.

video
video pentingnya mendidik anak yang soleh oleh Ustaz Don


Didiklah anak sebaiknya


Atas faktor mengikut arus perdana, ibu bapa hari ini lebih menekan pembangunan minda dari akhlak. Ibubapa lebih berharap anak-anak mereka menjadi pandai dalam pendidikan konvensional (persekolahan). Menjadi orang cerdik pandai, mempunyai masa depan yang cerah dengan ilmu dengan kesenangan atas kemewahan. Semuanya mentaliti yang melihat kepada materialiti (keduniaan).

Cuba kita lihat, kebanyakkan ibubapa hari jika mengetahui anak-anak mereka gagal dalam peperiksaan, kita mengambil serius perkara ini. Dihantar anak ke tusyen dengan bayaran yang tinggi kasi anak pandai. Disuruh kerja bagus-bagus dengan jawatan tinggi agar hidup senang. Tapi sayang soal agama diabaikan. Cukuplah sekadar tahu baca alif..ba..ta. Buat apa perlu dihantar belajar agama jauh-jauh sedangkan tidak nampak memberi manfaat pun.

Memang bagus mempunyai anak yang bijak-bijak tetapi andai pembangunan akhlak dan sahsiah anak-anak tersebut diabaikan, ianya lebih merugikan kita. Diantara bijak dan baik, yang mana perlu diutamakan? Sudah tentu yang baik perlu diutamakan kerana anak yang baik insyaAllah akan memberi kebaikan dan anak yang cerdik belum tentu lagi. Tetapi andai dapat membangunkan kedua-duanya adalah lebih baik. (^_^)/

Didiklah anakmu sebelum kelahirannya- Luqman Al-Hakim

Berikut adalah gambar keratan akhbar menunjukkan contoh kesan jika anak tidak didik dengan sebaiknya:




lebih lanjut tip bagaimana mendidik anak boleh rujuk link ini.

Kesimpulan

Anak itu adalah amanah yang Allah SWT kurniakan kepada ibubapa untuk diasuh dan dididik menjadi seorang anak yang dapat memberi kebaikan pada kedua ibubapanya kelak dan menjadi hamba yang taat pada Tuhannya. Sesungguhnya anak yang soleh merupakan salah satu amalan yang mampu memberikan kita pahala walaupun sudah mati. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Jangan kerana kesilapan kita hari mendatangkan mudarat kepada kita pada masa akan datang. Nauzubillah.

.................................................................................................................................................................

Baiklah, sampai sini sahaja untuk kali ini. Ikutkan banyak lagi yang ingin dikongsi. Tapi tak larat nak tulis panjang-panjang. InsyaAllah lain kali akan dikongsi. Apapun saya mohon maaf andai apa yang saya kongsi ini tidak sempurna dan banyak cacat celanya. Doakanlah saya untuk terus diberi kekuatan untuk terus rajin menulis.hehe.. Akhir kata,terima serangkap pantun yang tidak seberapa ini:

Pergi bermusafir seluruh dunia
Kaki melangkah penuh semangat
Didiklah anak dengan agama
InsyaAllah senang dunia akhirat

Assalamualaikum~

No comments:

Post a Comment

Sahabat Ku~

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...