SELAMAT DATANG

Monday 13 August 2012

RAMADHAN AKAN PERGI, SYAWAL KINI MENANTI


Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah bersyukur pada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita masih dipanjangkan usia sehingga ke penghujung ramadhan bagi tahun ini. Cuba ingat balik hari pertama kita berpuasa. Juadah apa yang kita makan ketika berbuka? Masihkah kau ingat? Hehe.. Rasa macam masa berlalu terlalu pantas kita berpuasakan?

Akhinya kita telah masuk ke 10 malam yang terakhir. Masing-masing sibuk membuat persiapan diri masing-masing. Ada yang sibuk menyiapkan tempahan kuih dan baju raya. Anak-anak yang bermain mercun dan bunga api kegembiraan. Lagu-lagu raya berkumandang di radio-radio dan pasar raya membuatkan kita merasakan Syawal kian menjelang. Orang ramai berpusu-pusu ke bazaar untuk mencari baju raya dan lain-lain kelengkapan raya. Itulah realiti yang berlaku pada kebanyakkan orang pada hari apabila syawal kian hampir. Tidak kurang juga yang mengutip saki baki Ramadhan untuk mencari ganjaran yang besar di dalamnya pada saat akhir-akhir ini.

Sedih meninggalkan Ramadhan atau gembira menanti Syawal?

Pada awal setiap Ramadhan, ramai orang bersemangat menyambut kedatangannya. Surau-surau dan masjid dipenuhi jemaah menunaikan solat sunat terawih. Semakin hari bilangan jemaah semakin berkurang kerana semakin kehabisan bateri agaknya. Ataupun mungkin juga sudah sibuk bersiap bersedia menati syawal. Walaubagaimanapun, masih ada lagi golongan yang masih setia berlumba-lumba mencari ganjaran di bulan yang penuh barakah ini. Memikirkan semakin hampir ke penghujung ramadhan, rasa sedih kian terasa kerana ramadhan mungkin akan meninggalkan kita.

Memang benar syawal adalah bulan untuk kita bergembira. Tapi layakkah kita untuk bergembira sedangkan kegembiraan itu sepatutnya hanya layak bagi mereka yang benar-benar berjuang di bulan ramadhan untuk meraikan kemenangan mereka dalam bermujahadah melawan nafsu dan mentarbiah diri mereka. . Bagi mereka mereka yang mengetahui kebaikan yang ada didalamnya, mereka akan berharap kalau boleh biarlah setiap masa adalah ramadhan. Mereka akan sentiasa berlumba-lumba memburu ganjaran yang ada di dalam ramadhan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan yang bermaksud:

"....Dan bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui tuhannya ( meninggal ) dia gembira dengan puasanya"( Sahih Muslim 1117 )



Bagi orang beriman, ramadhan ini ibarat kekasih yang banyak memberi manfaat pada dirinya. Perpisahan dengannya akan membuatkan mereka sedih. Sayangnya, kebanyakkan dari kita hanya gembira di bulan ramadhan kerana menanti syawal. Kegembiraan atas baju baru yang dibeli, dapat berjumpa sanak saudara dan dapat menjamu selera yang telah dikekang selama sebulan lamanya. Walaupun mereka akan berasa gembira, tetapi kegembiraan itu bukanlah kegembiraan yang sebenar. Mereka lupa dengan tarbiah yang dididik di madrasah ramadhan. Mereka tidak merasai hikmah di bulan ramadhan. Sebab itu tiada rasa sedih dengan perpisahan dengan bulan ramadhan.

Satu bulan VS sebelas bulan

Kadang-kala ramai dari kita yang berpuasa terikut-ikut. Bila orang berpuasa, kita pun ikut berpuasa. Ibadah puasa berbeza dengan ibadah yang lain. Jika ibadah lain orang boleh melihat kita melaksanakannya. Jadi orang akan tahu kita melakukan sesuatu ibadah itu. Berbeza dengan puasa, jika kita tidak memberitahu bahawa kita berpuasa, mana mungkin orang akan tahu kita berpuasa. Oleh itu Allah SWT telah menyebut bahawa ibadah puasa itu akan di beri ganjaran sendiri oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulallah s.a.w bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjarannya"".(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada bulan puasa inilah masa yang sesuai untuk kita mentarbiah diri kita selama sebulan dan hasil dari tarbiah itulah kita perlu gunakan untuk sebelas bulan yang mendatang. Tapi di sini kita diuji sama ada nafsu yang dibentuk sebelas bulan yang lalu mampu menewaskan sebulan tarbiah di bulan ramadhan itu? Untuk mentarbiah bukanlah apa yang kita lakukan hari ini, esok dapat dilihat hasilnya tetapi ianya adalah satu didikan yang berterusan seorang insan. Jika di bulan yang dimana iblis dibelenggu ini kita tidak mengambil kesempatan untuk membentuk diri kita, bagaimana kita mampu mengubah diri kita menjadi manusia yang baik di bulan-bulan yang lain?


Kesan yang boleh kita lihat sama ada kita berjaya atau tidak mendidik jiwa kita di bulan ramadhan boleh dilihat di awal syawal. Bagaimana cara kita meraikan bulan yang mulia itu. Orang yang terdidik jiwanya akan mengelakkan dari melakukan pembaziran. Mereka juga akan menjauhi maksiat dan perkara yang sia-sia. Mereka yang ditarbiah dalam bulan ramadhan tidak akan terputus amal yang dilakukan di bulan ramadhan malah terus istiqamah dengan apa yang telah diamalkan di bulan ramadhan. Barang siapa yang gagal di bulan ramadhan ini, maka sungguh rugilah bagi dirinya. Mereka lupa bahawa pada bulan ramadhan inilah saat untuk mendapatkan rahmat dan keampunan dari Allah SWT. Dalam satu potongan hadis dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

……“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.”…..(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Pecutan akhir ke garisan penamat

Sesungguhnya ramadhan ini satu bulan yang penuh rahmat yang tidak patut dilepaskan peluang untuk mengejarnya. Lakukanlah amal sebanyak mungkin agar kita tidak meyesal di kemudian hari. Sesungguhnya pada ramadhan itu satu bulan yang bersamaan dengan 1000 bulan. Bayangkan betapa ruginya nadai kita terlepas untuk merebutnya. Bukan apa, takut-takut kita tidak akan berkesempatan bertemunya pada masa akan datang.



Memang benar untuk bermujahadah bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri pun belumtentu mampu untuk melaksanakannya. Sekurang-kurangnya tanamkan niat dalam hati untuk bersungguh-sungguh mengejar rahmat Allah di bulan yang mulia. InsyaAllah semoga Allah mempermudahkan kita untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. Jangan terlalu berharapkan ganjaran semata-mata tapi berharaplah memperolehi keredhaanNya. WaAllahua’lam..

Wasalam.~

No comments:

Post a Comment

Sahabat Ku~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...